Penerapan informal dan formal pendidikan alam sekitar di suatu kawasan tercemar / Baniah bt Mustam
Masalah alam sekitar kian meruncing walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasinya. Pendidikan merupakan suatu kaedah pembentukan sikap dan tingkah laku yang baik terhadap alam sekitar. Sehubungan dengan ini, kajian ini telah 2 menerokai konsep penerapan Pendidikan Alam Sekitar dalam...
Saved in:
Summary: | Masalah alam sekitar kian meruncing walaupun pelbagai usaha telah dilakukan
untuk mengatasinya. Pendidikan merupakan suatu kaedah pembentukan sikap dan
tingkah laku yang baik terhadap alam sekitar. Sehubungan dengan ini, kajian ini telah
2
menerokai konsep penerapan Pendidikan Alam Sekitar dalam kalangan pelajar, guru dan
ibu bapa. Di samping itu, kajian ini juga menyelidik tentang kaedah penerapan
Pendidikan Alam Sekitar secara informal dan formal di rumah dan di sekolah.
Permasalahan yang wujud berkaitan dengan penerapan dan model mental pelajar yang
terbentuk hasil dari penerapannya turut dikaji.
Pengumpulan data adalah melalui pendekatan secara kualitatif iaitu pemerhatian,
temu bual dan soal selidik terbuka. Lokasi kajian yang dipilih adalah kawasan yang
mengalami kadar pencemaran yang tinggi. Peserta kajian temu bual terdiri daripada enam
orang pelajar tingkatan empat, enam orang guru dan enam orang ibu bapa. Sementara
peserta kajian soal selidik terbuka pula adalah terdiri daripada enam puluh orang pelajar
tingkatan empat, tiga puluh orang guru dan tiga puluh orang ibu bapa. Hasil triangulasi
iaitu penggunaan pelbagai sumber data seperti dari pemerhatian, temu bual dan soal
selidik terbuka telah digunakan untuk mengenal pasti konsep penerapan Pendidikan Alam
Sekitar, kaedah penerapan, permasalahan dan bentuk model mental pelajar tentang alam
sekitar.
Dapatan utama kajian menunjukkan beberapa istilah atau perkataan telah
digunapakai untuk menjelaskan tentang konsep penerapan Pendidikan Alam Sekitar
dalam kalangan pelajar. Di antaranya ialah seperti 'diselitkan', 'didedahkan', 'dimasukkan',
'dikaitkan', 'diajarkan' dan 'digabungjalinkan'. Guru-guru pula menggunakan istilah
'ditekankan', 'digabungjalinkan', 'dimasukkan', 'dikaitkan', 'didedahkan' dan 'diselitkan'
untuk menjelaskan konsep penerapan Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum.
Manakala ibu bapa pula menggunakan perkataan yang lebih mudah seperti 'didedahkan',
diajarkan', 'ditanamkan', 'ditekankan' dan 'diselitkan' semasa menerapkan Pendidikan
Alam Sekitar secara informal di rumah.
Kaedah penerapan Pendidikan Alam Sekitar secara informal di rumah diterapkan
melalui tiga kaedah iaitu pendidikan melalui kaedah komunikasi secara lisan, pendidikan
3
melalui perbuatan atau tingkah laku dan pendidikan melalui penerapan nilai-nilai murni.
Di sekolah pula, kaedah penerapan Pendidikan Alam Sekitar secara formal diterapkan
melalui kaedah penerangan, perbincangan, tunjuk cara, soal jawab, eksperimen, simulasi
dan main peranan. Manakala kaedah Pendidikan Alam Sekitar secara informal di sekolah
diterapkan melalui aktiviti perkhemahan, gotong-royong, kempen alam sekitar,
pertandingan-pertandingan, lawatan, aktiviti luar bilik darjah dan aktiviti kitar semula.
Beberapa masalah turut dikenal pasti semasa melaksanakan proses penerapan
Pendidikan Alam Sekitar. Dalam penerapan Pendidikan Alam Sekitar secara informal di
rumah, kekurangan pengetahuan dan kemahiran, kekangan masa, kurang kemudahan dan
kurang kesedaran menjadi masalah utama penerapan. Masalah Penerapan Pendidikan
Alam Sekitar dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah pula meliputi
sikap pelajar, faktor masa, kurang faham istilah, kurang ditekankan, terikat dengan
silibus, kurang kandungan dalam silibus dan kekurangan sumber pendidikan. Manakala
masalah penerapan Pendidikan Alam Sekitar dalam aktiviti kokurikulum pula adalah
termasuk kurang penekanan, tidak berkaitan, faktor masa dan kekurangan kos.
Kesan dari penerapan Pendidikan Alam Sekitar yang dikaji ini telah mendedahkan
beberapa model mental terbentuk dalam minda peserta kajian pelajar yang telah
dikategorikan sebagai Alam Semula Jadi, Masalah Alam Sekitar, Interaksi Manusia
dengan Alam, dan Penyelesaian Masalah Alam Sekitar. Seterusnya beberapa implikasi
dan cadangan kajian lanjutan telah disyorkan untuk tujuan penambahbaikan. |
---|